Bayi diserang biawak semakin pulih

ads 1

    




NUR Raudhah Maisarah Abdullah mendukung anaknya, Nur Hidayah Abdul Rahman, lapan bulan, yang diserang biawak di kuarters sebuah resort di Kampung Tekek, Tioman, Pahang, kelmarin. Bayi berkenaan dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin
JOHOR BAHRU: Nur Hidayah Abdul Rahman, bayi berusia lapan bulan yang menjadi mangsa serangan seekor biawak di kuarters sebuah resort di Kampung Tekek, Tioman, Pahang, kelmarin, menunjukkan tanda semakin pulih.

Pegawai Perubatan Pembedahan Plastik dan Rekonstruktif Hospital Sultanah Aminah (HSA), Dr Low Tzuemn Ling, berkata Nur Hidayah yang menerima 150 jahitan akibat cakaran biawak terbabit dijangka dibenarkan pulang ke rumah dalam masa terdekat tetapi perlu menghadiri rawatan susulan di hospital berkenaan untuk memulihkan parut yang dialaminya.

"Buat masa ini kita sedang lihat proses penyembuhan luka dan dijangkakan jahitan itu akan dibuka seminggu lagi. Setakat ini, keadaan Nur Hidayah stabil cuma kita sedang memantaunya daripada sebarang jangkitan," katanya kepada pemberita di Wad Kanak-Kanak HSA, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau mengiringi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Asiah Md Ariff yang melawat bayi berkenaan di wad kanak-kanak itu.
Dr Low berkata, parut di muka Nur Hidayah kemungkinan sukar hilang, namun, rawatan susulan akan terus diberikan kepada bayi itu bagi meminimumkan kesan parut itu.
Meskipun pihaknya sangat terkejut apabila melihat keadaan Nur Hidayah ketika tiba di hospital tempoh hari, beliau memastikan segala prosedur rawatan yang dilakukan terhadap bayi itu dilakukan dengan penuh teliti.

Sementara itu, Asiah berkata, pihaknya menyediakan seorang pegawai kaunseling untuk membantu ibu bayi itu, Nor Raudah Abdullah, 38, sehingga pulih sepenuhnya daripada trauma yang dialaminya memandangkan wanita itu masih terbayang-bayang kejadian itu.
"Kita harap kaunseling ini sekurang-kurangnya dapat melegakan keadaan ibu bayi tersebut. Dia kelihatan biasa pada hari ini tetapi kita faham, untuk hilangkan trauma itu bukan perkara yang mudah," katanya yang turut menyampaikan sumbangan kepada ibu bapa bayi itu.
Sementara itu, bapa Nur Hidayah Abdul Rahman Ismail, 38, berkata kelibat biawak yang berkeliaran di sekitar rumah dan resort berkenaan biasa dilihat setiap hari namun tidak menyangka haiwan itu bertindak memasuki rumah.

Abdul Rahman yang merupakan pekerja penyelenggaraan di resort itu, turut berkata kawasan sekeliling resort itu sangat bersih dengan dilengkapi landskap tanaman.
Beliau berkata, ketika kejadian berlaku, dia sedang bekerja dan dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh pihak majikan.

"Saya rasa macam hendak mati bila dapat tahu perkara itu dan terus bergegas ke Klinik Kesihatan untuk melihat anak saya yang sudah dibawa ke sana. Setiap hari saya nampak biawak berkeliaran di kawasan rumah dan resort tetapi kejadian biawak memasuki rumah memang pertama kali terjadi," katanya yang tinggal di kuarters resort itu sejak setahun lalu. - BERNAMA

sumber
ads 2

0 Response to " Bayi diserang biawak semakin pulih "

Post a Comment