Jadi Genius selepas dibelasah Samseng

ads 1


Setiap orang sudah semestinya mahukan dirinya menjadi seorang genius. Dalam erti kata lain berilmu dalam sesuatu perkara. Bagi untuk mencapai status genius itu adakalanya adalah secara semula jadi, tetapi ada juga yang sentiasa berusaha untuk ke arah itu. Terdapat seorang lelaki yang dikenali sebagai Jason tidak memiliki sebarang kelulusan malah dianggap sebagai budak kurang pintar. Bagaimanapun, semuanya berubah apabila dirinya menjadi genius setelah dibelasah oleh sekumpulan samseng jalanan. Ikuti kisah di bawah ini.

Jason Padgett
Hanya dalam tempoh satu malam, selepas dibelasah oleh sekumpulan samseng, Jason berubah menjadi bijak sehingga memiliki kecerdasan tinggi yang luar biasa.
Sejak kecil, Jason yang berasal dari Tacoma, Washington bukanlah seorang budak pintar. Malah, hingga ke hari ini, dia langsung tidak mempunyai sebarang ijazah walaupun pernah melanjutkan pelajaran ke kolej.
Bagaimanapun, Jason tidak dapat menghabiskan pelajarannya selepas disingkir kerana tidak mencapai tahap yang ditetapkan oleh pihak kolej.
Dengan gelaran bekas mahasiswa yang dibuang dari kolej, Jason hanya mampu bekerja dan menjawat jawatan sebagai penyelia kedai perabot. Biarpun bekerja, banyak masanya dihabiskan dengan berpesta dan berpoya-poya. Pendek kata, dia berminat dengan dua perkara sahaja, bekerja dan berhibur di kelab malam.
Sehinggalah pada suatu malam, ketika dia berjalan keluar selepas berpesta di sebuah kelab karaoke di Tacoma, Jason diserang oleh sekumpulan samseng. Mereka memukul dan menendang kepalanya berkali-kali semata-mata mahu mencuri jaket kulit yang dipakainya berharga $99 dolar.
Ketika itu menurut Jason, tiada apa yang boleh dilakukannya selain memikirkan mati. Dia sedaya-upaya melawan dan cuba mengecam wajah-wajah suspek tapi tidak berjaya. Apa yang dilihatnya hanyalah cahaya terang seperti kilat, sebelum dia rebah dan tidak sedarkan diri.
Ajaib, dia bukan saja terselamat dalam serangan itu, malah menerima hadiah berupa misteri matematik. Dua hari selepas kejadian itu, Jason merasakan dirinya ada sesuatu yang berbeza. Dia tiba-tiba mampu melukis diagram yang mewakili rumus-rumus matematik dalam pelbagai bentuk format.
Formula dalam bentuk gambar rajah ini dipanggil Fractals. Malah, gambar Fractals buatan Jason dilihat sangat teliti dan rumit untuk dibuat secara manual. Walhal, sebelum ini dia langsung tidak mampu menggambarkannya sama sekali.
Jason juga tidak lagi melihat dunia dengan cara yang sama seperti kebanyakan orang. Dimana-mana sahaja, dia melihat formula matematik yang kompleks seperti Teorem Pythagoras.
Ibaratnya, mata lelaki ini seperti sebuah skrin yang tidak pernah berhenti memaparkan rumus-rumus dan formula matematik. Malah, setiap benda yang ada lekukan atau lingkaran, semuanya terlihat seperti diagram matematik.
Bakat luar biasa Jason yang terserlah selepas tragedi itu telah menarik perhatian ramai ahli perubatan dari seluruh dunia. Setiap mereka cuba memahami dan mencari jawapan sebenar bagaimana otak berfungsi sehingga berubah sebegitu rupa.
Pakar Neurosains dan Falsafah dari Pusat Neurodynamics, Universiti of Missouri-St. Louis, Profesor Berit Brogaard, antara pakar yang serius ingin mengetahui keadaan otak Jason. Profesor Brogaard bersama pasukannya kemudian terbang ke Finland untuk menjalankan satu siri ujian ke atas Jason.
Jason Padgett Brain
Hasil pemeriksaan menunjukkan kawasan otak Jason yang mengawal matematik dan imej mental didapati menyala. Profesor Brogaard menjelaskan, kerosakan yang disebabkan oleh serangan itu telah menyebabkan beberapa bahagian otak yang lazimnya tidak boleh diakses terdedah.
Penyelidik percaya, kerosakan yang berlaku pada otak Jason telah memberikannya hadiah yang luar biasa dalam dunia matematik. Keadaan inilah yang membuatkan beliau memiliki kecerdikan luar biasa setara dengan manusia super.
Kebolehan mengagumkan ini menjadikan dia satu-satunya manusia di dunia yang diketahui mempunyai kemahiran dan kepakaran matematik hanya disebabkan oleh kecederaan kepala. Sama seperti ahli matematik yang cemerlang seperti John Nash dalam filem Hollywood, A Beautiful Mind, lakonan Russell Crowe.
Apabila ditanya pendapat beliau sama ada bakat genius itu sebuah hadiah ataupun bebanan, Jason berkata, perasaannya bercampur aduk.
Kadangkala katanya, dia benar-benar ingin menghentikan saja bakat baru yang diperolehinya itu. Bagaimanapun, daripada sudut lain, ia sebenarnya memberi banyak kebaikan daripada keburukan.
Menurut Profesor Brogaard, keadaan yang dialami Jason dikenali sebagai Sindrom Savant. Ia adalah suatu keadaan di mana individu dengan gangguan perkembangan saraf, gangguan autisme, terutama spektrum atau kecederaan otak, menunjukkan kapasiti yang mendalam atau kemampuan yang jauh melebihi dari apa yang dianggap normal.
Sehingga sekarang, tidak ada kesepakatan tentang berapa ramai orang memiliki keterampilan Sindrom Savant.
Namun, berdasarkan perkiraan, satu dari sepuluh orang penghidap autisme mengalami keadaan ini.
ads 2

0 Response to " Jadi Genius selepas dibelasah Samseng "

Post a Comment