• Pengunjung tidak mempedulikan notis larangan menceroboh kawasan lagun maut yang ditutup sejak hampir tiga tahun lalu. 
  • Kanak-kanak bebas bermain sambil mencari spesies moluska bercangkerang dua di kawasan lagun maut, Kuala Semerak.

PASIR PUTEH  - Lagun maut di Kuala Semerak, di sini, ditutup kepada orang ramai sejak hampir tiga tahun lalu dicerobohi pengunjung yang sama sekali tidak menghiraukan notis amaran daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Lagun berkenaan ditutup kepada orang ramai pada 6 September 2011 kerana amat berbahaya dan telah mengorbankan 28 nyawa dari 1980 hingga 2011, yang mana kebanyakan mangsa berkunjung bersama keluarga untuk mencari pelbagai spesies moluska bercangkerang dua.

Penduduk, Ismail Mohammed, 44, kesal melihat masih ramai pengunjung tidak menghiraukan notis amaran disediakan PBT dengan memasuki kawasan itu untuk bermandi-manda.

"Saya harap PBT atau pihak berwajib terus memantau kawasan ini kerana ia masih menjadi tumpuan orang ramai khususnya pada hujung minggu dan cuti sekolah.

"Tindakan tegas perlu diambil segera kerana kita tak mahu tragedi lemas di kawasan ini berulang, tambahan pengunjung kebanyakannya bukan penduduk setempat dan pastinya mereka tidak tahu selok-belok kawasan ini," katanya.

Menurutnya, ada beberapa kemungkinan lagun tersebut meragut nyawa ramai mangsa seperti tanah jerlus, lubang di dasar sungai dan arus dasar sungai tidak menentu.

Katanya, kebanyakan mangsa lemas di kawasan itu adalah kanak-kanak dan remaja yang kemudiannya ditemui dalam keadaan berdiri dalam lumpur atau terperosok dalam kawah dasar sungai.

"Ada kes kanak-kanak dilepaskan bermain ketika air surut dan akhirnya terperangkap di tengah lagun apabila air pasang. Mereka lemas ketika cuba berpatah balik ke tepi lagun.

"Dulu, boleh dikatakan setiap tahun ada kes lemas dan ia umpama perkara biasa sehinggalah PBT bertindak menutup lagun ini kepada orang ramai. Kini notis amaran tidak lagi dihiraukan dan saya tertanya-tanya apa status sebenar notis tersebut," katanya.

Tambahnya, sekiranya tiada pihak mengambil tindakan terhadap penceroboh, tidak mustahil lagun itu kembali menjadi tumpuan ramai dan jumlah kes lemas akan meningkat.

sumber