Saya tak sepopular Zizan Razak - Shuib Sepahtu

ads 1



Pelakon, Shuib Sepahtu pada Majlis Tayangan Perdana filem berjudul Amir Loqman Pergi ke Laut di eCurve Damansara. - Foto Nashairi Mohd Nawi
KUALA LUMPUR: "Saya tak sepopular Zizan Razak," demikian ungkap Shuib Sepahtu mengenai dirinya sama ada mampu menjadi pelaris filem terbaru terbitan Astro Shaw, Amir & Luqman Pergi Ke Laut arahan Mamat Khalid.

Filem ketujuh arahan sutradara berkenaan bersama Astro Shaw itu turut menampilkan Shuk Balas sebagai teraju utama. Ia turut dibintangi Soffi Jikan, Zarina Anjoulie, Kuni, Nadia Mustafar, Kazar dan Rashidi Ishak.
Persoalan mampukah Shuib dan Shuk menarik penonton ke pawagam bermula 25 September ini? Shuib yang ditemui BH Online di Balai Berita baru-baru ini turut mengakui debaran sama apatah lagi ini gandingan sulung beliau dan Shuk di layar perak.

"Saya berserah dalam hal ini. Tapi sejujurnya ini filem yang paling saya tunggu-tunggu. Lama saya bercerita kepada kawan dan akhirnya selepas dua tahun setengah menunggu, ia muncul juga. Filem ini mempunyai rasa yang lain.
"Saya berharap nasib akan menyebelahi saya serta pelakon dan filem ini sendiri. Semoga tuah menyebelahi filem ini untuk meletup. Bagi saya tak semua pelakon ada peluang untuk membabitkan diri dalam naskhah cerita sebegini. Saya bangga.
"Tapi saya sendiri pernah cakap kepada Shuk kalau filem ini tak menyebelahi kami, sekurang-kurangnya kami boleh ingat ada satu filem terbaik yang pernah dibintangi," katanya yang pernah muncul dengan filem Sepah The Movie, Oh Mak Kau dan Man Sewel selain menunggu kehadiran filem Usin UFO.

Ditanya mengenai pengalaman menjalani penggambaran filem berkenaan yang dijalankan di Ipoh, Shuib sendiri mengakui cukup tertekan. Malah hari pertama menjalani penggambaran maki hamun itu sudah jadi makanan Shuib.
"Saya sampai menghubungi isteri saya (Sarah Raisuddin) berkongsi tekanan yang ada ketika berlakon filem ini. Bayangkan di peringkat pembacaan skrip pun saya sendiri tak faham apa yang ingin disampaikan pengarah.

"Ingatkan saya seorang saja, rupanya Shuk dan pelakon lain pun ada yang tak faham. Abang Mamat selalu pesan kat saya beliau tak nak saya jadi Shuib dalam filem ini tetapi mahu serlah sisi Luqman. Akhirnya saya serahkan semua kepada abang Mamat dan lihat saja hasilnya.
"Apabila melihat hasil sepenuhnya filem ini pada sesi pratonton, saya mula sedar dan faham apa yang cuba disampaikan beliau. Bayangkan pernah ketika satu babak rompakan tidak memenuhi apa yang diingininya, beliau sampai sentap. Tegur pun tak layan," kata Shuib.
Dalam perkembangan lain, selepas dua tahun lebih meninggalkan jenama Sepah dan menubuhkan Sepahtu bersama Jepp, Shuib memberitahu mereka sekali lagi akan berentap dalam pertandingan Maharaja Lawak Mega 2014. Tahun lalu pertandingan yang sama Sepahtu muncul sebagai juara.
"Kami akan menampilkan Ilya Senario untuk sama-sama berentap dalam Maharaja Lawak Mega 2014," katanya.

Shuib Sepahtu pertama kali bekerjasama dengan Mamat Khalid -Nashairi Mohd Nawi
Sarah Raisudin hadir memberi sokongan kepada suaminya ketika sesi pratonton Amir & Loqman Pergi Ke Laut diadakan baru-baru ini - Nashairi Mohd Nawi

sumber
ads 2

0 Response to " Saya tak sepopular Zizan Razak - Shuib Sepahtu "

Post a Comment