• Agama, budaya tiada jurang antara kami

SAYA berasal dari Kuala Kangsar, Perak. Menguruskan perniagaan butik pakaian bersama suami setelah mendirikan rumahtangga selama lapan tahun dan dari hasil perkahwinan kami dikurniakan dua anak lelaki dan seorang anak perempuan masing-masing berusia 6,4 dan 2 tahun.

Pada mulanya saya tidak menyangka akan bertemu jodoh dengan suami tetapi ALLAH itu maha mengetahui apa yang terbaik buat hambanya, malah suami saya sudah pun memeluk Islam pada tahun 2006 sebelum kami berkahwin.

Suami pandai mengambil hati  orang tua sehingga dia boleh diterima oleh keluarga saya kecuali ibu. Namun selepas berkahwin ibu boleh menerima suami walaupun pandangan orang luar agak mengganggu emosi. Saya tidak pernah menghiraukan pandangan negatif itu kerana mereka hanya tahu berkata, tetapi tidak  merasa.

Saya bersyukur suami bijak mengawal keadaan walaupun pelbagai cacian diterima dari masyarakat. Bagi kami kata-kata itu adalah semangat untuk terus berjaya dan mengecapi bahagia seperti sekarang.

Ada juga yang suka dan kagum kerana saya berkahwin dengan orang luar dan mempunyai anak-anak yang sangat comel dan pintar. Ada juga yang memahami bukan mudah untuk berkahwin dengan warga asing kerana banyak rintangan harus ditempuhi. Selain berbeza budaya,agama dan bangsa, pemakanan mereka juga sangatlah berbeza.
Saya sudah dua kali melawat negara kelahiran suami di Edo State, Kota Benin di Nigeria bersama anak-anak. Pertama kali suami mengajak pulang saya begitu teruja dan sedikit pun tidak bimbang seperti yang digambarkan oleh orang ramai yang kononnya mereka mahu menggunakan saya sahaja untuk menjadi keldai dadah atau menjual saya.

Malah saya tidak sabar mahu berjumpa keluarga suami. Saya kenal suami dan tidak mengendahkan kata-kata negatif. Suami pernah bekerja membasuh pinggan di kedai mamak untuk mendapatkan sesuap nasi jadi tanggapan orang luar tentang keluarga saya tidak beri kesan kepada kami.

Kita tahu apa kita buat dan kita tiada hak untuk menghukum sesiapa. Keluarga suami sangat gembira dan senang hati menerima kami. Walaupun mereka Kristian tapi mereka sangat menghormati saya dan tahu larangan agama Islam. Mereka keluarga yang berada tapi tidak sombong dan hidup saling bertolak ansur.

Bapa mentua mempunyai sebuah kilang papan manakala ibu mentua mempunyai sebuah restoran, jadi soal duit mereka tidak pernah berkira. Tetapi suami saya adalah anak lelaki sulung keluarganya jadi tanggungjawab sangat berat untuk digalas dan tidak mengharap pada keluarga.

Bagi saya, isu perkauman ini tidak sepatutnya wujud. Menyentuh soal anak, kebanyakan masyarakat tidak menyukai anak yang berbapakan bangsa Afrika. Ini tidak adil bagi anak-anak kami yang tidak mengerti apa-apa yang berlaku di persekitarannya.

Ada yang sanggup menghalang anak mereka berkawan dangan anak kami dan mengutuk mereka di sekolah. Pernah pada suatu hari, anak saya pulang dari sekolah dan mengadu sambil menangis kerana kawan-kawannya mengata tentang rambut dan kulitnya.

Adilkah untuk anak kecil menerima semua ini? Renung-renungkan jika ini terjadi pada keluarga anda sendiri. Jodoh, ajal dan pertemuan telah ditentukan oleh-Nya. Afrika adalah sebuah benua yang besar terdiri dari 57 negara termasuklah Nigeria, Ghana, Algeria, Cameron, Liberia, Somalia, Ethopia dan banyak lagi.

Tetapi apabila berlakunya sebarang jenayah yang dilakukan oleh warga Afrika ini rata-rata masyarakat mengangap ia berpunca dari sebuah negara sahaja iaitu Nigeria. Seperti kata pepatah kerana nila setitik rosak susu sebelanga.

Saya selalu teringat kata-kata suami saya apabila saya bertanya mengapa beliau bekerja keras sehingga tiada masa untuk berehat. Menurutnya, 'ini bukan negara saya, mereka tidak menerima saya, jadi saya harus bekerja keras untuk kamu dan anak-anak kerana bila-bila masa sahaja negara ini boleh membuang saya.
Kamu dan anak-anak adalah tanggungjawab saya”. Saya bukan mahu mengagung-agungkan mereka kerana saya berkahwin dengan lelaki Afrika tetapi ini adalah kenyataan.
Pepatah Melayu ada menyatakan yang “tak kenal maka tak cinta”. Justeru saya berharap dan yakin kelab komuniti ini akan mendapat sambutan dengan menjayakan misi dan visi yang telah dibuat kerana sehingga kini kami menerima komen-komen yang baik dan sokongan daripada mereka yang yang berminat.


Noorhabibah Mohd Hairi, 28,
Naib Presiden Africanasia Mom’s Club

sumber