Waris Kecewa Produksi ‘Syok Sendiri’ Cipta Karakter AR Tompel

ads 1


“Pertama kali ketika menonton telefilem ‘Biopik Saloma – Mencuri Guruh’ saya rasa kecewa apabila watak bapa saya digambarkan sebagai seorang yang kejam.

“Karakter AR Tompel juga tidak betul. Dia bukan seorang yang terkinja-kinja dan tersengeh-sengeh tak tentu arah seperti yang dipaparkan,” luah Armaya Aman Ramlie atau AR Badul pada sidang akhbar bersama waris arwah AR Tompel yang berlangsung di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) pada petang Khamis.

AR Badul yang merupakan anak kedua daripada isteri pertama Aman Ramlie Jaafar atau AR Tompel, P.Suriati, turut kelihatan sebak ketika memulakan sesi sidang akhbar.

“Mereka kata telefilem tersebut adalah kisah benar, tapi saya hairan daripada mana mereka dapatkan sumber.

“Adakah memadai pengarah dan penulis skrip menterjemahkan watak ayah saya berpandukan satu sumber sahaja iaitu Mariani (kakak Saloma) tanpa bertanyakan kepada kami waris AR Tompel?

“Kesimpulannya, apabila cerita benar menjadi sebaliknya, kesannya adalah kepada kami…Dan perkara itu benar-benar menyinggung perasaan kami,” katanya dalam nada kecewa.

Sementara itu, adik kepada AR Badul, Amran Aman Ramlie turut berasa kesal apabila menonton babak-babak yang dipaparkan menerusi telefilem arahan Melissa Saila itu.

Dia yang dikenali dengan nama Amran Tompel mengakui telefilem berkenaan telah memberikan impak yang buruk kepada seluruh adik-beradik dan ahli keluarganya yang lain.

“Bayangkan ke mana sahaja saya pergi…Pasar, surau…orang sekeliling akan bertanya kepada saya mengenai kekejaman yang dilakukan awah bapa terhadap arwah Saloma.

“Saya masih boleh tersenyum pada mulanya, tapi lama-kelamaan ia mengganggu fikiran saya. Tambahan lagi ketika itu saya masih belum menonton telefilem tersebut.

“Seingat saya, telefilem itu saya tonton selepas  adik saya telah menghubungi saya dan meminta supaya menontonnya. Saya hanya berkesempatan menonton ketika berada di rumah AR Badul," luahnya dengan nada sebak.

Menurut Amran, perkara yang membuatkannya terasa hati adalah babak ketika AR Tompel menghisap rokok dan menghembuskan asapnya ke muka Saloma yang dianggapnya perkara yang tidak benar sama sekali.


Allahyarham AR Tompel

“Apa yang mereka cuba sampaikan? Mereka nak tuduh ayah saya pakai ilmu pengasih ke? Itu melampau!,” katanya kesal.

Adlin Aman Ramlie pula menegaskan, menerusi penelitiannya terdapat 29 buah babak dalam telefilem berkenaan yang tidak menggambarkan karakter sebenar arwah bapanya.

"Apa yang saya lihat, gambaran karakter arwah dalam telefilem terbitan Kus Semangat Aktor itu hanyalah watak artificial  yang dicedok dari filem-filem lakonan AR Tompel seperti Anak Bapak, Keluarga 69, Ahmad Albab dan Do Re Mi.

“Ia bukanlah karakter arwah yang sebenar dalam kehidupan biasanya," tegasnya.

Dalam pada itu isteri AR Tompel, pelakon veteran Ruminah Sidek atau Mak Mah juga sempat berkongsi perasaan kecewanya terhadap olahan watak arwah suaminya itu.

“Mereka menggambarkan arwah seorang yang bersikap kasar dan bongkak sedangkan beliau bukan begitu,” komennya ringkas.

Menurut anak Allahyarham yang turut hadir pada sidang akhbar semalam, Azman dan Romsia Tompel bapa mereka seorang yang sangat penyayang, murah hati, lucu, tenang dan sentiasa berketerampilan kemas serta rapi.

“Sebab itu kami kecewa apabila telefilem tersebut memaparkan karakter yang bertentangan dengan kehidupan sebenar arwah. Apalah salahnya jika pengarah dan penulis skrip rujuk dahulu kepada kami (waris) sebelum watak tersebut dihasilkan, sekurang-kurangnya mereka akan dapat gambaran lebih tepat mengenai arwah,” ujar mereka.

AR Tompel atau nama sebenarnya Aman Ramli Jaafar meninggal dunia pada 30 Januari 1973 selepas terlibat dengan kemalangan jalan raya di Setapak, Kuala Lumpur.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Ampang.

Antara pencapaian membanggakan seniman AR Tompel ialah, Allahyarham merupakan pengarah melayu pertama dalam sejarah perfileman Nusantara era 40an-50an dan pengarah TV pertama.


Sebahagian daripada waris Allahyarham AR Tompel semasa majlis perjumpaan keluarga pada Aidilfitri 2012


sumber
ads 2

0 Response to " Waris Kecewa Produksi ‘Syok Sendiri’ Cipta Karakter AR Tompel "

Post a Comment