Hazama pilih anak Fauzi Nawawi jadi protege

ads 1

HAZAMA PILIH ANAK FAUZI NAWAWI JADI PROTEGE

Anak Fauzi Nawawi terpilih sebagai protege Hazama
Anak Fauzi Nawawi terpilih sebagai protege Hazama
Pelakon, Fauzi Nawawi, menganggap kejayaan anaknya, Muhammad Fazreez Hazwan, 18, bergelar protege kepada Hazama adalah hasil usaha remaja itu sendiri.
Katanya, gelaran anak selebriti yang dipegang oleh anaknya itu sedikit pun tidak memberikan dirinya sebarang hak istimewa.
Malah, Fauzi mendedahkan, Hazama tidak tahu menahu pun anaknya turut mencuba nasib pada sesi uji bakat program Mentor Milenia.
“Fareez beratur sejak pagi lagi hingga ke malam untuk menjalani sesi uji bakat. Saya hanya menelefon Hazama sejurus selepas Fareez memaklumkan dia berjaya menjadi antara peserta pilihan penyanyi itu.
“Saya berbangga kerana kejayaan Fareez itu adalah hasil titik peluh dirinya sendiri. Dia tidak meminta bantuan sesiapa atau menggunakan jalan pintas untuk mengejar cita-citanya sebagai penyanyi,” katanya kepada BH Online.
Biarpun dirinya mengenali keempat-empat mentor terbabit dalam program itu, namun Fauzi berkata, beliau memberikan sepenuh kuasa kepada mereka untuk membimbing anaknya dalam bidang nyanyian.
Selain Hazama, Mentor Milenia turut menampilkan Azlan, Black dan Akim.
PELAKON, Fauzi Nawawi (kiri) hadir memberi sokongan kepada anaknya pada Konsert Kedua Pemilihan Protege Akim dan Hazama di Studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
PELAKON, Fauzi Nawawi (kiri) hadir memberi sokongan kepada anaknya pada Konsert Kedua Pemilihan Protege Akim dan Hazama di Studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral. – Foto Nurul Syazana Rose Razman
“Nyanyian adalah di luar bidang kuasa saya kerana saya berkecimpung dalam arena lakonan,” katanya ketika ditemui pada konsert program terbabit di sini, malam tadi.
Aktor itu berkongsi, beliau maklum minat anak lelakinya itu sedari kecil lagi dan memberikan sepenuh sokongan untuk Fareez mengorak langkah dalam bidang nyanyian. Tambah Fauzi, anak keduanya itu juga menjadikan Hazama sebagai idola sejak dulu lagi.
“Antara aktiviti masa lapang kami adalah berkaraoke dan dari situlah saya menyedari bakat terpendam anak kedua saya itu. Malah, nyanyiannya jugalah yang membolehkan saya tahu dia berada di rumah atau sebaliknya.
“Saya juga tidak akan memasang radio sekiranya memandu untuk perjalanan jauh kerana anak-anak saya akan mengambil giliran menyanyi sepanjang perjalanan,” kata Fauzi sambil tertawa.
Sementara itu, Fareez yang turut berada di sisi bapanya menjelaskan, beliau meminati Hazama kerana vokalnya yang mantap dan unik. Malah, beliau tertarik untuk menyertai program itu berikutan pemilihan Hazama sebagai mentor kali ini.
“Selain mempunyai vokal yang mantap, beliau juga seorang yang kelakar dan bersahaja. Sebagai sifu pula, abang Hazama bijak mengatur strategi dan membimbing tanpa memberikan sebarang tekanan,” kata Fareez.
ads 2

0 Response to " Hazama pilih anak Fauzi Nawawi jadi protege "

Post a Comment