Tergamak dia melumur kuetiau goreng ke muka anak saya hingga meraung

ads 1

Seremban: Tergamak dia melumur kuetiau goreng ke muka anak saya hingga meraung akibat matanya pedih. Sebagai ibu, saya tidak sanggup melihat anak saya diperlakukan sebegini,” kata Norhimah Ibrahim, 34, yang mendakwa muka anak lelakinya dilumur makanan oleh guru disiplin di kantin sebuah sekolah di Sikamat, di sini, awal bulan ini.

Insiden dipercayai berlaku ketika waktu rehat 1 Mac lalu apabila Norhimah turut mendakwa anak lelakinya berusia lapan tahun dan menghidap autisme turut dipukul guru berkenaan.
Katanya, kejadian berlaku apabila anaknya yang juga orang kurang upaya (OKU) hendak mula makan selepas membeli makanan di kantin.

“Tetapi, disebabkan beratur terlalu lama, anak saya dapat membeli makanan pada hujung waktu rehat. Pembantu murid OKU meminta anak saya masuk ke kelas kerana waktu sudah tamat.
“Anak saya meninggikan suara kepada pembantu berkenaan dengan memberitahu dia mahu menghabiskan makanan terlebih dulu. Bagaimanapun, mungkin disebabkan tidak berpuas hati, pembantu terus memaklumkan kepada guru disiplin yang kebetulan makan di situ.

“Dalam keadaan marah, guru berkenaan menolak pinggan berisi kuetiau goreng hingga jatuh atas kerusi. Guru itu mengutip semula dan memasukkan dalam pinggan sebelum melumur ke muka anak saya.
“Pada masa sama, guru itu turut serta menolak kepala dan memukul bahunya berkali-kali,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Menurutnya, kejadian itu turut disaksikan seorang lagi anak perempuannya yang bersekolah di darjah empat di sekolah berkenan namun tidak mampu berbuat apa-apa.
“Kakaknya cuba memujuk adik yang meraung kesakitan akibat mata pedih namun guru disiplin tidak membenarkannya. Malah, guru terbabit memberitahu dia mahu mengajar kanak-kanak itu.
“Ketika itulah dia menceritakan semuanya kejadian sambil menangis. Sebelum itu, saya mengambil anak lelaki pada jam 1 tengah hari tetapi dia tidak beritahu apa-apa kejadian walaupun saya nampak kesan kotoran pada muka serta kolar baju.

“Pada mulanya, saya mengesyaki kotoran disebabkan dia bermain di sekolah,” katanya sambil memaklumkan anak lelakinya belajar di kelas pendidikan khas.
Berikutan kejadian itu, ibu kepada tiga anak membuat laporan polis serta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) selepas kecewa guru berkenaan enggan mengaku tindakan dilakukan terhadap anaknya.
“Saya cuma mahu guru itu mengaku tindakannya dan memohon maaf secara terbuka kepada kami sekeluarga. Malah, semua rakan sekolah memaklumkan mereka nampak kejadian itu,” katanya yang terpaksa menukar anak ke sekolah lain atas faktor keselamatan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan negeri Rusni Ab Jalil berkata, pihaknya sedang meneliti laporan bagi membolehkan siasatan dijalankan mengenai kes berkenaan.


sumber ads 2

0 Response to " Tergamak dia melumur kuetiau goreng ke muka anak saya hingga meraung "

Post a Comment